Sunday, 29 October 2017

Persediaan Bakal Pengantin

Saya berkahwin pada usia 26 tahun. Sesetengah orang 26 tahun tu kira biasa, bagi saya itu luar biasa kerana dalam keluarga saya. Sayalah paling awal mendirikan rumah tangga berbanding adik-beradik yang lain. Rata-rata abang-abang saya berkahwin pada usia 28 tahun ke atas. Saya mempunyai 2 orang kakak dan 5 orang abang. Saya anak bongsu.

Saya masih ingat lagi apabila saya mula-mula nak bagi tahu mak yang saya nak berkahwin. Saya tahu saya anak bongsu. Memang susah mak nak lepaskan saya. Bukan saya saja, mungkin anak bongsu yang lain pun hadapi situasi yang sama macam saya. Mula-mula saya bagi tahu mak secara  bergurau. Nak tengok respon mak macam mana. Saya masih ingat lagi dialog setiap kali balik kampung, saya bagi tahu  mak 

“Mak nak tambah lagi tak koleksi menantu”. Masa tu saya dah ada 2 orang kakak ipar 2 abang ipar. 

Mak saya jawab “Jangan nak ngada-ngada”

Daripada jawapan tu, saya dah boleh agak dah yang mak bukan tak bagi saya berkahwin tapi dia bimbangkan kedudukan kewangan saya. Saya mula bekerja pada usia 24 tahun dan 25 tahun saya dah nak berkahwin. Ramai kawan-kawan sebaya dengan saya yang sambung belajar tapi saya pula ambil keputusan untuk berkahwin. Bagi saya, apabila dah ada calon yang sesuai, elok agamanya. Insyallah niat yang baik pasti baik ke sudahnya. 

Strategi Pujuk Hati Orang Tua

Hampir setahun saya berkias-kias dengan mak hal saya nak berkahwin. Akhir sekali, saya nekad nak bagi tahu mak terang-terangan yang saya benar-benar dah ada calon yang sesuai. Saya ambil kesempatan kenduri kahwin anak ibu saudara saya di Taman Medan untuk perkenalkan bakal isteri saya kepada mak. 

Pada hari saya memperkenalkan bakal isteri saya tu, mak agak terkejut tetapi menyambut kehadiran bakal isteri saya dengan baik. Bukan saja mak, malah adik beradik lain pun terkejut apa saya lakukan. Tak ada angin, tak ada rebut tiba-tiba saya bawa calon isteri. Bagi saya, itu tindakan saya "bagai briged berani mati". Saya terima saja apa respon mak. Akhirnya mak abah terima calon yang saya perkenalkan untuk jadi menantu mereka. 

Persediaan Bakal Pengantin

Berkahwin bukan perkara yang boleh dibawa main-main. Ia isu besar melibatkan banyak pihak. Tak saya nafikan banyak cabaran saya hadapi terutama melibatkan hal kewangan. Bakal pengantin perlu ambil berat hal kewangan ini kerana habis saja kenduri kahwin. Mungkin kita rasa dah berjaya menghadapi pelbagai ujian. Tapi sebenarnya ujian saja baru bermula. Bakal pengantin perlu bersedia. 

#1 Persediaan Ilmu 

Sebelum buat apa-apa pastikan kita ada ilmu. Sebelum bakal pengantin merancang untuk mendirikan rumah tangga. Pastikan cari ilmu terlebih dahulu. Cari ilmu kewangan, ilmu rumah tangga, ilmu keibubapaan, dan segala ilmu-ilmu hal ehwal rumah tangga. Dengan ilmu ini akan membezakan kita pasangan mempelai  yang lain. 

#2 Persediaan Kewangan

Waktu saya nak berkahwin. Saya hanya ada RM6000 duit simpanan. Itulah duit yang saya kumpul ketika mula-mula bekerja. Kalau diikutkan RM6000 itu memang tak cukup kalau nak jayakan satu majlis perkahwinan. Saya berusaha juga untuk kumpul sebanyak yang mampu. Walaupun saya terpaksa pada saat-saat akhir membuat pinjaman bagi menampung keperluan yang masih tak cukup.

Persediaan kewangan sangat penting untuk bakal pengantin. Bukan persediaan kewangan untuk menjayakan majlis perkahwinan saja. Yang paling penting ialah selepas berkahwin. Nak masuk rumah baru, beli kelengkapan rumah, dan banyak lagi. Saya sarankan mereka yang masih bujang, tak banyak komitmen lagi. Perbanyakan membaca buku kewangan, dan menyimpan secara tegar setiap bulan.

Dulu semasa saya dan isteri masih bertunang. Saya minta bakal isteri saya baca buku-buku kewangan. Sebabnya, sangat penting suami isteri mempunyai pemahaman yang sama tentang kewangan. Jika  isteri jenis suka menyimpan, suami boros berbelanja. Bermasalah juga. Sama juga jika suami suka menyimpan, isteri pula kuat berbelanja.  Pun tak jadi juga. Perbezaan pemahaman ini membuatkan kita sukar nak mencapai matlamat kewangan. 

Bakal pengantin, saya syorkan perbanyakan mendalami ilmu kewangan. Bakal suami boleh saja menghadiahkan buku-buku kewangan kepada bakal isteri untuk memudahkan wujudnya pemahaman kedua-dua belah pihak. Apabila kedua-dua belah pihak sudah mempunyai pemahaman kewangan yang sama. Ini memudahkan kita merancang perbelanjaan sebelum, semasa, dan selepas berkahwin.

Buku ini saya baca dan minta tunang saya juga baca 

#3 Persediaan Mental dan Fizikal

Kehidupan seorang bujang tak sama dengan kehidupan apabila sudah berkahwin. Hidup seorang bujang kita boleh buat apa kita suka. Komitmen kewangan tak banyak. Tapi lain pula kehidupan apabila sudah berkeluarga. Toleransi antara suami isteri sangat penting. Bagi suami-suami. Saya nak pesan orang perempuan ni ada ketikanya moodnya tiba-tiba tak baik. Jadi sinilah peranan kita daripada segi persediaan mental. Banyakkan  bersabar.  Daripada segi kewangan. Suami isteri perlu mempunyai pemahaman yang sama supaya kedudukan kewangan keluarga tak masuk ICU.

Kepada bakal pengantin selamat membina mahligai yang bahagia. Rancang simpanan dan perbelanjaan sebaik-baiknya.

Mohamad Shafiq Rohaizad
Kuching
29 Oktober 2017


No comments:

Post a Comment